mutakhir

Tunggu masa sembah bumi [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

DINDING retak sana sini manakala struktur kayu rumah semakin uzur dimakan anai-anai.

Itulah syurga tiga beranak di Kampung Sungai Chinchin di sini, yang hanya menunggu masa rebah menyembah bumi.

Bagi Mohamad Ali Hassan, 79, dan dua anaknya rumah itu meninggalkan kenangan manis bersama arwah isterinya yang pernah menetap di situ sejak 2009 sebelum meninggal dunia lapan tahun lalu.

Menurut warga emas itu, setiap hari mereka hidup tidak tenteram memikirkan nasib buruk bakal menimpa sekiranya rumah berkenaan roboh terutama dilanda ribut.

“Saya risau rumah ini tidak kukuh buatannya dan hanya tunggu masa hendak roboh saja.

“Takut kemudian hari tidak sedar mati terhempap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Meskipun sedar tidak selamat menetap di rumah itu, katanya, mereka tiada pilihan kerana tidak berkemampuan mengeluarkan modal membaiki kerosakan serta keluar menyewa.

“Saya memang teringin duduk rumah lebih selesa, tetapi apa boleh buat kami tidak mampu untuk membetulkan kerosakan rumah ini.

“Wang yang ada setakat cukup-cukup makan kami tiga beranak dan bayar bil api air saja.

“Itupun anak sulung saya yang menanggung kami kadang harap belas ihsan orang bantu kerana saya sudah tidak berdaya untuk keluar bekerja,” katanya.

Sementara itu, anak sulung warga emas itu, Rabiatul Rabiah berkata dia memikul tanggungjawab menyara bapa serta adik bongsunya sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya di ibu kota dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Ayah sudah uzur dan tidak boleh keluar bekerja. Adik pula perlu menjaga dan menguruskan keperluan ayah di rumah.

“Jadi, saya perlu keluar bekerja untuk menyara kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam 12-113-02-014269-4 atas nama Mohamad Ali.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 10:35am
d