mutakhir

Rezeki si tukang kasut

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BAU busuk dan hapak kasut menjadi teman sehariannya, namun hanya itu kerja yang mampu dilakukan seorang lelaki untuk menyara keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu.

Bapa empat anak, Ismail Jusoh, 50, berkata rutin hariannya ‘bermain’ dengan kasut kotor yang dipakai pelanggan sudah sebati dengannya selepas memulakan kerjaya itu pada 1990-an hingga sekarang.

Katanya, dia berulang-alik dari rumah berdekatan Masjid Muhammadi, Kota Bharu, dengan berjalan kaki sejauh satu kilometer (km) untuk mencari sesuap nasi.

“Saban hari saya membaiki pelbagai jenis kasut dan selipar di kaki lima Jalan Dato Pati bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

“Malah, saya terpaksa duduk di bangku kecil lebih lima jam setiap hari untuk menjahit dan menampal kasut.

“Tangan dan jari saya bagaikan sudah kebal terkena jarum kerana lumrah itu antara kesakitan dan kemungkinan perlu dihadapi sebagai tukang kasut.

“Namun rezeki di kaki lima ini dapat menyara isteri dan empat anak berusia antara 10 hingga 24 tahun,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, dia mempelajari teknik pertukangan kasut daripada arwah ayah mentuanya yang juga seorang tukang kasut yang sebelum ini pernah membuka kedai membaiki kasut di kaki lima sekitar bandar ini.

“Saya mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk mahir dalam mempelajari teknik jahitan serta tampalan kasut daripada arwah dan sepanjang tempoh itu pasti memerlukan tahap kesabaran tinggi.

“Menjadi tukang kasut bukan semudah disangka kerana ia perlu ketekunan untuk menghasilkan kerja pembaikan bermutu kerana kerja dilakukan perlu teliti selain memuaskan hati pelanggan.

“Pada pandangan mata kasar, kerja ini nampak mudah tetapi sebenarnya perlu minat dan sabar melayani kerenah pelanggan. Kita kena jadi `hamba’ kepada pelanggan,” katanya.

Ismail mengakui sekitar bandar ini terdapat ramai tukang kasut lebih berpengalaman, namun dia sentiasa berusaha meyakinkan pelanggan dengan menunjukkan hasil kerja memuaskan dan akhirnya pelanggan dapat menerima tukang kasut sepertinya.

“Dalam sehari saya mampu memperoleh upah antara RM70 hingga RM80 dan bayaran dikenakan kepada pelanggan yang menghantar kasut atau selipar untuk dijahit serendah RM1 hingga RM40 sepasang bergantung kepada kerosakan.

“Pendapatan bulanan diperoleh tidak menentu, jadi saya terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga walaupun upah diterima tidak tetap,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 1:46pm
d