mutakhir

Menangis nak bayar ni..

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBUAH kereta berprestasi tinggi model Nissan GT-R diparkir di tepi jalan, rosak di bahagian belakang apabila dirempuh Perodua Myvi yang hilang kawalan di Seremban 2, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, kejadian jam 11 malam itu berlaku ketika pemandu lelaki berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Seremban 2 ke Emerald Park.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tembok batu di kiri jalan.

“Rempuhan kuat menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali dan memasuki jalan bertentangan sebelum merempuh Nissan GT-R yang berada di parkir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rosli berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera ringan manakala pemilik Nissan GT-R tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 3:33pm
d