mutakhir

[UPDATE] 'Bayar RM2,000 kepada ejen untuk masuk Malaysia'

Oleh Suraya Roslan

SAKSI kelima Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan seorang daripada 38 mangsa yang ‘diselamatkan’ di kem penempatan sementara Wang Kelian membayar RM2,000 kepada ejen untuk memasuki Malaysia.

Keterangan itu dibuat Kompeni Komandan B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Deputi Superintendan M M A Joeking ketika sesi pendengaran awam di hadapan tujuh panel RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis hari ini.

Joeking yang bertanggungjawab dengan operasi pengawasan di Wang Kelian ketika disoal pegawai pengendali RCI Khairul Anuar Abdul Halim berkata, keterangan itu diperoleh melalui seorang daripada 38 warga asing yang ditemui di kem berkenaan.

“Salah seorang warga Bangladesh itu fasih berbahasa Inggeris dan Melayu memberitahu mereka memasuki negara ini menaiki kapal.

“Dia juga memberitahu berjalan kaki sehingga ke dalam hutan dan tiba di satu kawasan yang menjadi kem penempatan.

“Lelaki Bangladesh berkenaan mendakwa ejen meminta wang lagi dan barulah mereka dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya.

Joeking yang berkhidmat dengan PGA sejak 1994 berkata, semua mangsa ditemui dan diselamatkan selepas pihaknya menemui kem penempatan pada 19 Januari 2015.

“Tiada antara mereka yang cedera, cuma mereka keletihan dan kelaparan sebelum saya mengarahkan diberi air dan roti,” katanya.

Ketika sesi pendengaran awam itu, seorang panel RCI, Tan Sri Razali Ismail mengandaikan operasi itu gagal berikutan pendatang asing tanpa izin dapat melarikan diri ketika serbuan dan adakah laporan susulan dibuat selepas itu.

Bagaimanapun, Joeking berkata, tiada laporan susulan dibuat dan baginya serbuan itu berjaya.

“Bagi saya kami tidak gagal, kami berjaya menyelamatkan 38 jiwa selepas serbuan dilakukan.

“Malah melalui serbuan ini kami mengetahui kewujudan kem berkenaan,” katanya.

Selain itu, Joeking juga memberitahu RCI dia tidak menerima sebarang barang bukti atau eksibit yang dirampas ketika operasi dilakukan.

Ketika ditanya Khairul Anuar, adakah terdapat bahan bukti atau eksibit yang dirampas ketika serbuan dilakukan, Joeking menegaskan tiada barang bukti diberikan kepadanya selepas serbuan.

Keterangan Joeking berbeza dengan saksi ketiga, Inspektor Mohd Mossadique Azni semalam yang mengakui barang bukti sudah diberitahu kepada ketuanya (Joeking) yang kemudian meminta dia menyimpannya.

Joeking juga mengakui tidak ingat memberi sebarang arahan kepada Mohd Mossadique untuk menyimpan barangan yang dirampas itu.

“Tidak ada eksibit yang diserahkan kepada saya.

“Saya tidak ingat (mengarahkan Mossadique untuk menyimpan barangan bukti). Sekiranya serah kepada saya, saya akan masukkan dalam laporan polis. Saya tak ingat perkara ini,” katanya.

Prosiding RCI hari kedua berlangsung di hadapan tujuh panel RCI yang dipengerusikan Tun Ariffin Zakaria.

Berita berkaitan

Petanda buih berbau sabun

Mesej misteri dedah kehadiran polis?

RCI Wang Kelian bermula hari ini [METROTV]

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 3:41pm
d