mutakhir

Kebakaran 68 motosikal akibat percikan api

Oleh Shamsul Munir Safini

POLIS mengesahkan kebakaran 68 motosikal di Taman Alor Vista Relau, Georgetown, semalam berpunca daripada percikan api pada sebuah motosikal yang diletakkan di kawasan pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, penemuan itu diperoleh hasil pemeriksaan dilakukan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir itu.

“Tiada unsur jenayah wujud dalam kejadian itu seperti tular di media sosial sehingga membimbangkan orang ramai.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, terdapat percikan api pada bateri sebuah daripada motosikal di situ,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Rabu, 68 motosikal musnah dalam kebakaran di kawasan parkir motosikal, di situ.

Dalam kejadian itu, 40 motosikal hangus 100 peratus manakala 28 lagi terbakar 50 peratus dan empat kereta rosak akibat bahang kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.51 pagi sebelum sampai di lokasi kejadian 14 minit kemudian.

Katanya, anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan Bayan Baru mendapati api sudah marak.

“Kami kemudian membuat pengawalan dan pemadaman api sebelum ia berjaya dikawal pada 3.10 pagi.

“Api kemudian dipadamkan sepenuhnya 3.34 dan bomba masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi menentukan punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Berita berkaitan

'68 motosikal musnah angkara khianat '

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 4:50pm
d