mutakhir

'Saya mahu mohon maaf dengan emak ayah'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“SAYA terlalu rindu keluarga dan mahu memohon maaf di atas kesilapan lalu,” kata penghuni Penjara Pengkalan Chepa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 20.

Mohamad yang berasal dari Pengkalan Chepa dipenjara 15 bulan atas kesalahan memiliki 400 pil kuda mengikut Seksyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, sikap degil serta tidak mendengar kata menyebabkannya menerima padah.

Katanya, ibu bapa dan keluarga mengetahui kegiatannya malah menasihati supaya berhenti namun tidak diendahkan.

“Saya berdegil meneruskan kegiatan menjual pil kuda kerana seronok dapat wang banyak dan turut mengambil barang terlarang itu untuk diri sendiri,” katanya.

Mohamad berkata, dia mengedar dadah selepas berhenti sekolah ketika di tingkatan empat.

Katanya, selepas berhenti sekolah dia menjual pil kuda yang diambil daripada pembekal di Kota Bharu.

“Saya seronok menjual kerana mendapat permintaan tinggi dan memperoleh pendapatan lumayan malah dengan wang itu, saya membeli dua motosikal,” katanya.

Mohamad yang melakukan kerja itu tiga tahun lalu akhirnya ditangkap polis September lalu.

“Saya menyesal kerana tidak mendengar nasihat keluarga dan berharap mereka memaafkan saya,” katanya sedih.

Mohamad ditemui dalam Program Hijrah Kasih 8 anjuran bersama Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Satelit Penjara Pengkalan Chepa hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Pengarah Pembangunan Dakwah dan Syiar Islam BPI KPM Shamsul Shah Tarja.

Hadir sama Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim.

Hijrah Kasih 8 memberi peluang kepada 65 penghuni juvana memperoleh pendidikan pembangunan sahsiah diri dan fardu ain bermula Selasa lalu sehingga hari ini.

Ia program pertama kali diadakan di sekolah satelit itu untuk menerapkan nilai murni dan jati diri dalam kalangan penghuni juvana.

Program itu turut membabitkan anggota keluarga terutama ibu bapa bagi mengeratkan hubungan mereka.

Sementara itu, seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Syakir, 21, berkata, dia dipenjara selama tiga tahun kerana membunuh rakannya tanpa niat.

“Saya dipenjara hampir dua tahun lalu dan bakal dibebaskan dalam tempoh lima bulan lagi,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 4:50pm
d