mutakhir

Bantulah kami...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

UMPAMA sudah jatuh ditimpa tangga. Itu ungkapan paling tepat bagi menggambarkan keperitan hidup seorang wanita bersama dua anaknya di Taman Permint Permata, Kampung Butut, Kuala Berang di sini sejak dua tahun lalu.

Rusyati Ismail, 52, bukan sahaja menghidap pelbagai jenis penyakit kronik iaitu masalah buah pinggang, fibroid dan angin ahmar malah berdepan proses perceraian sekali gus hilang tempat bergantung.

Lebih menyedihkan, permohonannya mendapatkan faedah persaraan sebagai pembantu tadbir di Politeknik Kota Baru, Kelantan kerana masalah kesihatan, sehingga sekarang tidak berjaya.

Rusyati berkata, dia sudah buntu memikirkan masa depan dia dan dua anaknya, Nurul Atirah Azman, 17, dan Nurul Aneesa, 10, yang masih bersekolah.

“Dalam keadaan sekarang, saya langsung tak mampu berkerja, maklumlah separuh tubuh masih lumpuh dan tidak pulih sepenuhnya akibat diserang angin ahmar pada 10 Mei 2017.

“Sejak itu, saya tidak bekerja sebelum menghidap pula penyakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Lebih menderita lagi apabila kedua-dua mata saya pula tidak dapat melihat dengan jelas. Saya terpaksa minta bantuan anak untuk bergerak serta menguruskan diri,” katanya.

Menurutnya, dia dan dua anaknya kini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dan ihsan orang ramai termasuk rakan sekolah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa.

“Saya malu untuk terus meraih simpati daripada kenalan rapat, sebab itu kami mengharapkan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Setiap tiga hari seminggu saya perlu berulang-alik ke Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani dialisis dan terpaksa menggunakan khidmat teksi atau kereta sewa.

“Kos pengangkutan sebanyak RM10 untuk berulang-alik ke hospital itu juga menjadi masalah besar kepada saya,” katanya.

Katanya, dia berharap permohonan mendapatkan faedah melalui persaraan kerana masalah kesihatan dapat dipercepatkan.

“Saya bersara awal Januari lalu tetapi sampai sekarang wang ganjaran masih belum diterima. Harapan saya supaya ganjaran itu boleh disalurkan segera kerana saya dan keluarga memerlukan wang untuk menampung segala perbelanjaan,” katanya.

Sementara itu, Nurul Atirah berkata, dia simpati melihat keadaan ibunya yang semakin tidak bermaya.

“Ibu bukan sahaja menderita sakit tetapi pada masa sama memikirkan mengenai masalah kewangan dihadapi. Saya harap ada pihak simpati dengan nasib kami dan menghulurkan sumbangan diperlukan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama ibu dan adiknya juga terpaksa menumpang dirumah ibu saudaranya dan sentiasa mengharapkan simpati orang sekeliling.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 5:46pm
d