mutakhir

Tiga polis cedera bergelut penagih

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

TIGA anggota polis cedera pada tangan dan kaki ketika terbabit Op Sarang di ladang kelapa sawit FELDA Palong Enam, Jempol, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kecederaan berlaku apabila anggota lelaki berusia 30-an itu mengejar dan bergelut dengan tokan dan penagih dadah, pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, sebelum itu polis yang menerima maklumat awam menjalankan risikan dan menyerbu sarang penagihan dadah dikenali ‘port belakang pos’ terletak kira-kira 50 meter dari sempadan daerah Segamat, Johor.

“Ketika intipan, anggota terbabit melihat tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan lalu menyerbu kawasan itu.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri dan anggota mengejarnya. Berlaku pergelutan dengan suspek mengakibatkan tiga anggota cedera luka di tangan dan kaki.

“Ketiga-tiga suspek iaitu dua tokan dadah dan seorang penagih berusia 24 hingga 31 tahun itu dapat ditahan dan pemeriksaan pada beg pinggang salah seorang suspek menemui satu peket plastik syabu dianggarkan seberat 12.5 gram (g),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, polis kemudian menunggu kira-kira 10 minit di kawasan sama sebelum menahan 12 lagi penagih yang dipercayai datang untuk mendapatkan bekalan dan melepas gian.

Katanya, pemeriksaan menemui satu peket syabu seberat 0.5g daripada salah seorang penagih.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (3) serta Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 5:53pm
d