mutakhir

Dibayar RM100,000 ubah suai stor 'Orang No 1'

Oleh Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli

PEREKA hiasan dalaman memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, beliau dibayar RM100,000 bagi kerja membuat bilik stor yang memuatkan pantri dan kabinet baju di rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2014.

Pemilik syarikat ABS Trend Master Sdn Bhd, Zulkarnain Mohamad, 45, berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang yang dikenali sebagai Amirul (pengurus rumah kediaman) untuk membuat kerja itu di rumah ‘Orang Nombor 1’ antara Ogos atau September 2014.

“Ketika itu saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan. Saya berjumpa dengan Amirul di sebuah stesen minyak berdekatan dengan Jalan Duta. Dari situ saya dibawa ke sebuah rumah di Jalan Langgak Duta.

“Amirul memaklumkan bahawa dia mahu saya membuat bilik stor, kabinet dapur dan kabinet baju,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

SAIFUDDIN: Selepas itu apa berlaku?

ZULKARNAIN: Saya bertanya ini rumah siapa dan dimaklumkan ini rumah Orang Nombor 1, Datuk Seri Najib Razak. Saya terus kata saya tidak layak untuk buat tetapi Amirul kata saya boleh dan pernah tengok kerja saya. Saya kata saya tengok dulu dan ukur. Dia jelaskan mahu membuat stor, pantri, dapur kering, rak buku dan kabinet baju. Saya ukur dan buat draf.

SAIFUDDIN: Buat stor di mana?

ZULKARNAIN: Di luar rumah bahagian belakang.

SAIFUDDIN: Berapa sebut harga untuk buat semua itu?

ZULKARNAIN: Lebih RM200,000, saya tidak ingat.

SAIFUDDIN: Selepas itu apa berlaku?

ZULKARNAIN: Selepas mendapat wang deposit kami terus membuat kerja. Saya tidak ingat berapa tetapi lebih kurang RM50,000 daripada Amirul melalui cek atas nama syarikat.

SAIFUDDIN: Selepas siap semua?

ZULKARNAIN: Saya menerima bayaran sebanyak RM100,000 melalui cek atas nama syarikat pada 12 Februari 2015.

SAIFUDDIN: Selepas terima apa kamu buat?

ZULKARNAIN: Kami syarikat kecil, saya terus masukkan duit ke dalam bank pada hari itu juga.

SAIFUDDIN: Sepanjang bekerja ada nampak Najib?

ZULKARNAIN: Saya kerja di belakang rumah, namun jika saya nampak beliau, kerja diberhentikan serta merta.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Zulkarnain berkata, tidak tahu untuk siapa bilik stor itu dibuat.

Zulkarnain juga berkata tidak tahu almari baju yang dibina untuk mengisi baju milik siapa.

SHAFEE: Selain kerja itu apa lagi kerja kamu?

ZULKARNAIN: Selain buat bilik stor, saya juga diminta untuk membaik pulih tempat tong sampah dan pondok pengawal keselamatan.

SHAFEE: Kamu ada nampak Najib ketika membuat kerja di situ?

ZULKARNAIN: Ada, saya akan berhenti jika Najib ada, apabila dia tiada baru saya sambung kerja. Malah polis dan Amirul juga akan meminta saya berhentikan kerja.

SHAFEE: Kamu selalu nampak keramaian, kenduri, atau mesyuarat politik di rumah itu?

ZULKARNAIN: Saya selalu nampak Khamis malam Jumaat orang anak yatim dan orang baca surah Yassin seminggu dua kali atau seminggu sekali. Saya juga ada nampak ada orang keluar masuk rumah itu.

SHAFEE: Kamu tahu Najib sebagai Perdana Menteri mempunyai dua rumah, satu di Langgak Duta dan satu di Seri Perdana, Putrajaya?

ZULKARNAIN: Saya tidak tahu. Saya hanya tahu rumah di tempat saya buat kerja sahaja.

Sementara itu, saksi ke tujuh pendakwaan iaitu pemilik syarikat MOZ Malaysia Sdn Bhd yang juga tukang paip, Mohammad Zakariyya Zearat Khan mengesahkan bahawa beliau menerima bayaran sebanyak RM56,500 daripada pengurus rumah Najib.

Menurutnya ia bagi kerja pembaikan dan binaan membabitkan pemasangan dua tangki tambahan, sistem perpaipan baru, rumah pam dan lain-lain di atas tanah luar rumah kediaman itu.

“Saya menerima panggilan daripada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bahawa terdapat gangguan bekalan air di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 6:52pm
d