mutakhir

Elak cukai RM3.6 juta

Oleh Kandau Sidi

Diisytihar sebagai tisu, sebaliknya ia rokok seludup yang cuba dibawa masuk ke Sarawak.

Itu taktik terbaru penyeludup rokok dalam cubaan membawa masuk 25,000 karton rokok yang disorok dalam kontena di Pelabuhan Miri, Isnin lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, helah itu terbongkar dalam serbuan yang membawa kepada rampasan rokok seludup dengan nilai cukai dielakkan mencecah RM3.6 juta.

“Penyeludup mengisytiharkan barangan yang cuba diseludup masuk itu sebagai ‘tisu’ sedangkan ia sebenarnya mengandungi sejumlah besar rokok haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada awalnya mendapati memang ada sejumlah kotak tisu diletakkan di bahagian hadapan kontena berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, selepas diperiksa secara rapi, anggota penguat kuasa menemui sejumlah besar rokok yang dipercayai cuba mengelak cukai dan mahu diseludup masuk ke negeri ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 135 Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai cukai kastam atau RM100,000 dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras dan mercun kepada pihak berkuasa.

“Mereka boleh menghubungi talian bebas tol 1- 800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Sarawak 082-472133 atau pejabatnya yang berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 8:02pm
d