mutakhir

Tanam bayi perempuan baru lahir

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MAYAT bayi perempuan cukup sifat yang baru dilahirkan ditemui ditanam di satu kawasan di Kampung Limau Manis, Lunas, Kulim, malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Zailani Mohd Yusof berkata, penemuan mayat bayi itu selepas wanita berusia 19 tahun yang baru bersalin ke Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menerima rawatan selepas kesakitan hari ini.

Menurutnya, pegawai perubatan yang merawat suspek kemudian memaklumkan kepada pihak polis 5.50 petang tadi sebelum pegawai polis Balai Polis Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke hospital untuk soal siasat.

“Wanita terbabit kemudian mengaku mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelakinya berusia 19 tahun di mana dia bersalin 1.45 pagi ini di asrama kilang tempat kerjanya di Seberang Perai.

“Bagaimanapun, ketika dilahirkan bayi itu dipercayai sudah tidak bernyawa sebelum dia menghubungi teman lelakinya meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Zailani berkata, mereka kemudian membawa mayat bayi itu dengan menaiki motosikal ke Kampung Limau Manis sebelum menanamnya sedalam 0.3 meter.

“Susulan pengakuan itu, polis mengenal pasti suspek lelaki sebelum menahannya yang kemudian menunjukkan lokasi mayat dibuang.

“Proses menggali mencari mayat dijalankan Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit masih menerima rawatan di hospital sementara teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Siasatan mendapati mereka berdua berasal dari Sik di mana lelaki terbabit tidak bekerja dan mayat bayi akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat Ahad ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 11:35pm
d