mutakhir

Sembunyi dalam hutan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KEPANTASAN 35 penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang berjaya menggagalkan cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di dalam hutan di belakang tapak pembinaan di Brinchang di Cameron Highlands, hari ini.

Selain tapak pembinaan itu, Ops Bersepadu (Sapu) JIM itu turut menyerbu tujuh lokasi lain di Brinchang, Tanah Rata dan Kuala Terla dalam operasi bermula 8 malam hingga 5 pagi.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Pahang, Azlinawati Mohd Zulbi berkata, seramai 158 orang diperiksa membabitkan pelbagai warga negara dan daripada jumlah itu 67 ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Katanya, kesemua yang ditahan itu berusia 23 hingga 55 tahun membabitkan 50 lelaki dan 17 wanita warga Bangladesh, Thailand, Indonesia, China, Myanmar dan India.

“Lapan lokasi diserbu iaitu di rumah kongsi tapak pembinaan di Brinchang, enam pusat refleksologi sekitar Tanah Rata serta Brinchang dan kebun sayur di Kuala Terla.

“Operasi ini dijalankan selepas anggota membuat risikan selama dua minggu hasil maklumat orang awam,” katanya yang ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Azlinawati berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada pasport atau pas sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 menyalahguna pas lawatan.

Katanya, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat JIM Pahang di Kuantan untuk siasatan lanjut dan tindakan seterusnya akan dilakukan selepas proses dokumentasi selesai.

“Siasatan lanjut kepada majikan juga dilakukan kerana membenar PATI berada dalam premis dan menggajikan mereka tanpa pas yang sah.

“Operasi pertama kali dijalankan tahun ini di sini memberikan fokus kepada beberapa lokasi yang dikenal pasti melalui maklumat awam terdapat kemungkinan wujudnya PATI,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 11:06am
d