mutakhir

Rumah baru nelayan

Oleh Mohd Rafi Mamat

SERAMAI 154 nelayan di Kuantan bakal menerima kediaman baharu, Julai depan, di bawah projek Perumahan Nelayan Bunut Rendang.

Rumah bernilai RM35,000 seunit itu adalah projek di bawah peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan bagi membela nasib nelayan tempatan bernilai RM35.6 juta.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Rashima Baharuddin berkata, pemilihan penerima unit rumah berkenaan sudah dilakukan dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan.

“Mereka kini dalam proses melengkapkan dokumen perjanjian dan permohonan pinjaman disediakan Agro Bank.

“Projek perumahan ini mula dibina pada September 2016 dan siap sepenuhnya dua bulan lalu adalah perumahan moden dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, taman permainan dan tangki air,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, jeti tambatan bot turut disediakan bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk berulang alik menggunakan Sungai Belat tanpa perlu menaiki kenderaan ke pengkalan.

Katanya, rata-rata nelayan di daerah ini tidak pernah memiliki kediaman sendiri dan pihaknya sentiasa berusaha membantu golongan ini dengan pelbagai cara supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa bersama keluarga.

“Rumah kos rendah ini mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, cukup selesa untuk nelayan menetap bersama keluarga dengan persekitaran perumahan luas serta dapat memberi lebih keselesaan kepada mereka,” katanya yang berharap lebih banyak bantuan disediakan kepada nelayan.

Sementara itu Pengerusi PNK Kuantan, Talib Husain berkata, selepas menanti agak lama akhirnya impian 154 nelayan daerah ini untuk memilik rumah sendiri tercapai.

“Projek perumahan nelayan Bunut Rendang adalah pertama di daerah ini disediakan untuk nelayan sahaja.

“Saya berharap, fasa kedua projek dianggarkan sebanyak 500 unit rumah dapat dimulakan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada nelayan lain yang masih belum memiliki rumah sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 11:26am
d