mutakhir

Kongsi rezeki Ramadan

Oleh Ramli Ibrahim

SEBANYAK 1,000 kampit beras diagihkan kepada kumpulan asnaf di Parlimen Gua Musang untuk persiapan mereka menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan.

Katanya, program itu akan dilaksanakan setiap masa sehingga menyambut Ramadan nanti.

“Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik dan hidup dalam kesusahan dengan memberi sedikit bantuan.

“Saya mahu rezeki ini dikongsi bersama golongan asnaf untuk menyambut Ramadan akan datang,” katanya pada majlis pengagihan beras di Surau Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) Chin Teck, di Gua Musang, malam tadi.

Mohd Syahbuddin berkata, dianggarkan lebih daripada 1,000 asnaf yang tinggal di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Paloh dan Nenggiri.

“Ini adalah sumbangan julung kali yang diadakan tahun ini bagi memberi sinar harapan kepada golongan asnaf supaya kehidupan mereka mendapat pembelaan.

“Kita juga dapat melihat keceriaan mereka sebaik menerima sumbangan beras itu kerana dapat meringankan bebanan hidup mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 12:08pm
d