mutakhir

Fauzi bukan lagi KP Finas

Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik

STATUS jawatan Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Fauzi Ayob di bawah bidang kuasa agensi itu.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan, urusan pelantikan Ketua Pengarah (KP) Finas mengikut peruntukan Akta Finas (Akta 244), Seksyen 9(2).

“Berdasarkan peruntukan berkenaan, perbadanan boleh melantik KP Finas dengan persetujuan Menteri tanpa perlu merujuk kepada pertimbangan JPA dalam urusan pelantikan ini.

“Semakan lanjut JPA mendapati Finas juga mempunyai kuasa menamatkan pelantikan KP Finas dan penempatan Datuk Fauzi@Pauzi Ayob di jawatan terkini adalah selaras dengan Surat Kelulusan Perjawatan Bilangan K5 2019,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, JPA yang menentukan status jawatan Fauzi.

Ini berikutan, pihaknya sudah melantik pasukan baharu bagi memastikan peningkatan prestasi Finas.

Barisan baharu Lembaga Finas sudah dilantik dan Datuk Hans Isaac sebagai Pengerusi manakala Ketua Pegawai Eksekutif Finas adalah Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Fauzi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau masih memegang jawatan Ketua Pengarah Finas berdasarkan lantikan JPA sehingga 2021.

Beliau menegaskan tiada halangan untuk mengosongkan jawatan berkenaan tetapi biarlah menggunakan prosedur yang betul.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 12:19pm
d