mutakhir

Suri rumah didakwa memperdagangkan bayi

Oleh Siraj Mohd Zaini

SURI rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan bayi, dua bulan lalu.

Tertuduh, Nik Rahimah Nik Mohd Rawi, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperdagangkan bayi perempuan berusia 15 hari di pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Bandar Baru Selayang, 10 pagi, 8 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua ibu empat anak itu didakwa memperdagangkan bayi lelaki berusia tiga hari di tempat parkir kereta di Balai Polis Batu Arang, Gombak, 8.40 malam, 23 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda.

Difahamkan, kedua-dua bayi yang diperdagangkan itu adalah anak tak sah taraf.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Safarizal Zakaria memohon supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama kerana membabitkan saksi hampir sama.

Katanya, tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan berikutan kes terbabit tidak boleh dijamin selain membabitkan kepentingan awam.

“Tertuduh dalam kes ini didakwa dengan dua pertuduhan serius yang membawa hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh didenda.

“Jika mahkamah mahu memberikan jaminan, saya memohon jaminan tinggi diberikan selain syarat tambahan seperti perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi,” katanya.

Peguam Razi Abd Razak yang mewakili tertuduh berkata, Nik Rahimah yang sudah berkahwin dan ada empat anak akan dijamin suaminya sendiri.

“Dua anak tertuduh masing-masing berusia lima dan 14 tahun mempunyai penyakit jantung berlubang dan masalah pembelajaran,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain membenarkan syarat tambahan dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 13 Mei ini.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 12:44pm
d