mutakhir

Ramai dijangkiti HIV kerana seks bebas

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

JUMLAH bilangan pesakit HIV dalam kalangan homoseksual di Terengganu menunjukkan peningkatan berbanding mereka yang menggunakan suntikan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, ‘trend’ risiko jangkitan HIV mula berubah daripada aktiviti berkongsi jarum kepada aktiviti sosial seks bebas.

Katanya, pada tahun 2018 risiko jangkitan disebabkan homoseksual meningkat kepada 37.1 peratus berbanding 27.1 peratus.

“Manakala risiko disebabkan aktiviti heteroseksual menurun dari 36.4 peratus kepada 31.5 peratus begitu juga risiko suntikan turun dari 36.4 peratus kepada 30.1 peratus, ” katanya kepada media di Program Kembara Sihat Tanpa AIDS 2019 ‘Eksplorasi Menuju Sifar’ di Sungai Tarom, Setiu, di Permaisuri, hari ini.

Program dirasmikan oleh Setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Sabri Zakaria.

Mohd berkata, susulan daripada itu pihaknya mengambil langkah memperkasakan masyarakat dari peringkat remaja dan memberi fokus sepenuhnya kepada sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi seluruh negeri.

“Selain ceramah kesedaran AIDS dan HIV secara berkala, kita aktifkan semula Kelab PROSTAR di sekolah dan pembimbing rakan sebaya yang akan memainkan peranan menyalurkan maklumat awal kepada kami.

“Kesedaran ini perlu diterapkan bermula dari usia muda untuk membanteras kegiatan tidak sihat menjurus kepada aktiviti penagihan dadah.

Sementara itu, pada majlis sama seramai 436 peserta dengan 114 kenderaan terdiri daripada anggota jabatan kesihatan menyertai kembara yang berakhir di Cameron Highlands, Pahang petang ini.

“Peserta melakukan aktiviti mencari harta karun dan edaran risalah pengetahuan mengenai HIV dan AIDS sepanjang perjalanan, ” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 1:43pm
d