mutakhir

Maut rempuh lori berhenti

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEMANDU lori ketulan ais maut selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar lori 10 tan di kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi, Pekan, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi, mangsa dikenali sebagai Sharif Saidin, 40, maut di lokasi kejadian selepas parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal di lokasi mendapati mangsa yang memandu lori lima tan membawa muatan ais dari arah Kuantan ke Rompin dikatakan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar belakang lori.

“Siasatan mendapati ketika kejadian pemandu lori 10 tan memberhentikan kenderaannya di kiri jalan sebelum dirempuh lori dipandu mangsa hingga menyebabkan pemandunya tersepit.

“Mangsa terpaksa dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan alat pemotong besi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media kepada Harian Metro, hari ini.

Amran berkata, pemandu lori 10 tan, Zakaria Ismail, 50, dan kelindan yang juga anaknya, Muhammad Shahrul Izat, 20, tidak mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan lurus dan cuaca berkeadaan baik.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kejadian sudah dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 4:10pm
d