mutakhir

Kubur lebih 100 tahun dipindah

Oleh Amran Yahya

TUJUH kubur lama berusia lebih 100 tahun yang terletak di halaman sebuah rumah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Taman Pemarak, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah hari ini.

Pemilik rumah, Beah Oyek, 85, dari Kampung Tanjung Ipoh berkata, semua kubur itu berada di halaman rumah pusaka orang tuanya sejak dia lahir.

Menurutnya, sejak kecil dia sudah biasa melihat batu nisan dan akan merasai ‘kehilangannya’.

“Sejak kecil kubur ini sudah ada di halaman rumah ini tetapi saya tidak pernah dimaklumkan ia kepunyaan siapa.

“Tiada seorang pun pernah menceritakan perihal kubur itu tetapi saya yakin ia milik waris keluarga yang meninggal dunia,” katanya ditemui ketika kerja mengalihkan kubur berkenaan.

Beah berkata, kerja pemindahan kubur lama itu dilakukan atas permintaan ahli keluarga lain yang mahu membina rumah baru di atas tanah berkenaan.

“Kami sepakat dan bersetuju memindahkan kubur itu ke tempat baru di Tanah Perkuburan Islam Taman Pemarak.

“Kami juga berhubung dan memohon persetujuan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Islam Daerah, Ustaz Mohd Raizalani Mohd Rais berkata, pihaknya menerima permohonan itu awal tahun ini.

“Permohonan pemindahan kawasan perkuburan itu mengikut proses ditetapkan dan mendapat kebenaran pejabat Mufti Negeri Sembilan.

“Walaupun batu nisan itu dikategorikan batu megalith (batu hidup) namun tidak diwartakan sebagai tapak warisan kerana lokasinya di tanah persendirian dan ia memudahkan proses permohonan ahli keluarga,” katanya.

Kira-kira 30 orang terdiri daripada waris dan penduduk kampung membantu menjalankan kerja pemindahan yang dipantau Timbalan Pegawai Agama Islam Daerah Jempol yang juga Ketua Panel, Norhisham Hassan.

Program dimulai dengan tahlil arwah pada 9 pagi dan kerja pemindahan ke tanah perkuburan baru selesai 12 tengah hari.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 4:22pm
d