mutakhir

Tangkapan dadah meningkat

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SERAMAI 3,499 orang dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dadah dari Januari hingga Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan 35 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 2,577 orang membabitkan pertambahan 922 orang tangkapan dan tindakan.

Ketua JSJN Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, bagi tindakan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah pula, jumlah tangkapan juga meningkat bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan 723 orang diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Jumlah itu bertambah 26 peratus (151 orang) bagi tempoh sama tahun lalu membabitkan 572 tangkapan.

“Bagi pembanterasan ke arah pengurangan permintaan (penagihan), 2,751 orang diambil tindakan mengikut ADB 1952 dan Akta Racun 1960 bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,966 orang tahun lalu dengan peningkatan 40 peratus,” katanya.

Ravi Chandran berkata, pihaknya juga berjaya merampas 34kg pelbagai jenis dadah bernilai RM1.61 juta pada suku pertama tahun ini.

“Sitaan harta pengedar dadah bagi tempoh sama pula RM1.45 juta.

“JSJN Perak akan terus meningkatkan operasi dalam mengurangkan permintaan dan bekalan dadah dengan menyerbu pusat hiburan, sarang penagih, hotel atau rumah tumpangan dan pusat snuker,” katanya.

Menurutnya, kejayaan diperoleh pihaknya adalah kerjasama daripada orang awam yang banyak menyalurkan maklumat mengenai kegiatan dadah dan berharap masyarakat terus bersama dalam memerangi gejala dadah.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 5:11pm
d