mutakhir

Beradab lah sikit bila masuk tempat orang!

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KEMBALI ke Singapura dan merokok di stesen minyak. Lihat apa yang anda akan dapat (saman),” kata netizen yang memberikan komen gambar tular penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura merokok di stesen minyak di Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, kelmarin.

Terdahulu, Facebook SG Road Vigilante-SGRV berkongsi gambar beberapa penunggang motosikal dari seberang merokok di stesen itu.

Difahamkan, pengendali FB berkenaan berkongsi gambar tular selepas rakan senegara mereka merokok di tempat berbahaya dan tidak menghiraukan tanda larangan merokok di stesen berkenaan.

Selain gambar, pengendali laman sosial itu turut memuat naik keterangan ‘Penunggang motosikal Singapura menghisap rokok di stesen R&R Pagoh’.

“Video diambil memaklumkan mereka (larangan), tetapi mereka tidak menghiraukannya,” katanya yang berkongsi rakaman diambil Rabu lalu.

FB itu turut berkongsi nombor motosikal pemilik kenderaan berkenaan selain berkongsi video berdurasi kira-kira 36 saat membabitkan aksi merokok di kawasan itu.

Terdapat tiga individu dirakam di lokasi berkenaan namun seorang daripada mereka yang dirakam di sudut paling kiri didapati memegang puntung rokok.

Di hadapan mereka tertera papan tanda ‘Dilarang Merokok’, selain turut dirakamkan tulisan bertanda surau dan tandas.

Sementara itu, netizen memberikan pelbagai reaksi berhubung gambar tular itu dan menyifatkan tindakan dilakukan warga asing itu membahayakan nyawa.

Bukan saja mengancam nyawa kumpulan penunggang motosikal, malah membahayakan keselamatan pekerja dan orang ramai yang berada di stesen berkenaan.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 5:25pm
d