mutakhir

Masalah dadah di Kelantan serius

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MASALAH dadah di Kelantan serius dan tidak mustahil negeri ini akan menjadi ‘gedung’ dadah jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak ditangani segera.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, masalah dadah dapat ditangani terutama dengan bantuan dan maklumat orang ramai.

Katanya, masalah dadah di negeri ini dianggap serius berikutan rekod Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati seramai 12,703 individu dikesan menjadi `hamba’ dadah dalam tempoh lima tahun bermula 2014 hingga tahun lalu.

Katanya, berdasarkan statistik polis, sebanyak 17,686 tangkapan dilakukan sepanjang 2017 dan meningkat kepada 17,741 kes tahun lalu.

“Tidak mustahil Kelantan akan menjadi gedung dadah berdasarkan trend tangkapan dan jika kita tidak membanteras dari awal. Mengikut statistik terbabit mungkin terdapat individu yang ditangkap dua atau tiga kali.

“Bagi saya, masalah ini cukup serius dan keadaan ini berlaku apabila pasaran dadah cukup mudah didapati berikutan negeri ini berhampiran sempadan.

“Sehinggakan saya dengar orang cakap, pelajar sekolah kalau diseluk dalam poket mereka akan jumpa pil kuda. Ini menunjukkan betapa mudahnya mendapatkan bekalan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Program Imarah Masjid, di Masjid Kampung Kubang Batang, Pasir Mas, hari ini.

Beliau meminta orang ramai sentiasa bekerjasama dengan polis bagi menyalurkan maklumat jika tidak mahu generasi akan datang menjadi rapuh disebabkan kesan dadah.

“Saya tahu ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai banyak maklumat berkaitan dadah tetapi tidak tahu cara nak disalurkan sama ada melalui telefon, mesej atau aplikasi WhatsApp.

“Maklumat boleh disalurkan dengan pelbagai cara termasuk surat terutama bagi penduduk kampung. Maklumat perlu demi menjaga keamanan negeri,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 6:07pm
d