mutakhir

Polis tahan 2 suspek, miliki ganja dan ecstasy

Oleh Junaidi Ladjana

POLIS menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah jenis ganja dan ecstasy bernilai RM2,952 dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, suspek pertama berusia 21 tahun ditahan di kawasan Kampung Air pada 6 petang dan merampas dadah jenis ganja seberat 51.30 gram bernilai RM2,052.

“Pada 11.50 malam, hari yang sama, polis turut menahan seorang lagi lelaki di Api-Api Centre, di sini dan merampas dua paket plastik pil disyaki ecstasy sebanyak 30 biji bernilai RM900.

“Suspek yang memiliki ganja didapati positif dadah manakala seorang lagi negatif dan kedua-dua mereka ini tiada dokumen pengenalan diri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan pertama disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama dan Seksyen 39A(1) akta sama bagi tangkapan kedua.

“Pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenalpasti dan mengambil tindakan ke atas ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan berkenaan.

“Kejayaan ini adalah berdasarkan maklumat risikan dan orang awam ke atas individu yang memiliki dadah dan penagih dadah bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dadah serta pengedaran dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 9:44pm
d