mutakhir

Pemandu Grab diperdaya jadi 'keldai akaun'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TAWAR gaji lumayan dengan hanya perlu membuka beberapa akaun bank.

Itu taktik digunakan sindiket bagi menjerat seorang pemandu Grab yang menjadi ‘keldai akaun’ hingga menyebabkan dia kini disiasat polis kerana pembabitan akaun miliknya dalam transaksi kegiatan judi dalam talian.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Beh, 33, berkata, dia yang sedang mencari kerja melihat iklan jawatan kosong bagi pegawai jualan dipaparkan di Facebook pada November lalu.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi seorang lelaki yang mendakwa sebagai ejen melalui aplikasi WeChat sebelum dimaklumkan perlu hadir temu duga di restoran di Seri Kembangan, Selangor pada Disember lalu.

Katanya, lelaki itu menawarkan gaji sebanyak RM3,500 setiap bulan serta 0.5 peratus komisyen jualan.

“Dia turut memperkenalkan saya kepada seorang lagi lelaki yang meminta saya membuka enam akaun di bank berasingan.

“Mereka memaklumkan bidang tugas saya adalah mengeluarkan wang yang dimasukkan ke akaun itu, selain perlu melaporkan pergerakan keluar dan masuk ke dalam bank setiap kali transaksi.

“Malah, mereka meminta saya menunggu di kawasan bank sekitar Petaling Jaya selama dua hari untuk mengeluarkan wang,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur, semalam.

Beh berkata, dia kemudian diarahkan supaya tidak lagi menunggu di kawasan bank sehingga diperlukan untuk berbuat demikian.

“Beberapa minggu selepas itu, saya menerima panggilan telefon daripada pihak bank memaklumkan menerima laporan bahawa akaun bank saya dipercayai terbabit dengan sindiket disyaki judi dalam talian.

“Saya menutup semua akaun bank berkenaan. Saya cuba menghubungi kedua-dua lelaki berkenaan melalui WeChat, namun gagal kerana akaun saya disekat mereka,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berhubung kejadian itu.

Pada 22 Mac lalu, Beh menerima panggilan daripada pegawai polis yang memintanya hadir memberi keterangan berhubung tiga kes penipuan membabitkan kerugian kira-kira RM30,000 di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya sama sekali tidak terbabit dengan kegiatan sindiket itu dan akaun bank milik saya disalah guna oleh pihak berkenaan bagi menjalankan aktiviti mereka,” kata Beh.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima 23 aduan mengenai tawaran kerja palsu bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

“Bagi tahun ini pula, kami menerima lima aduan mengenai kes tipu tawaran kerja hingga hari ini (semalam). Daripada jumlah itu, dua daripada mangsa adalah wanita.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam mencari pekerjaan kosong yang ditawarkan terutama melalui media sosial. Selidik terlebih dulu latar belakang syarikat terbabit bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 9:55pm
d