mutakhir

Keluar dari amalan perniagaan biasa - Perdana Menteri

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PERDANA Menteri menggesa syarikat di seluruh negara melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha meningkatkan inovasi dan mengenal pasti nilai tambah baharu yang tinggi terhadap produk serta perkhidmatan ditawarkan.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, majikan pada masa sama perlu meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan teknologi terkini.

“Usaha-usaha bersama ini penting untuk meningkatkan prestasi produktiviti pekerja ke arah negara maju dan inklusif.

“Kita perlu keluar dari amalan biasa, ‘perniagaan seperti biasa’ dan sebaliknya, memacu negara pada pertumbuhan yang lebih pantas,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2018 di Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI) Datuk Darell Leiking.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, trend digital baru seperti perkhidmatan web mudah alih, grid pintar dan media sosial, secara radikal telah mengubah landskap perniagaan hari ini.

“Trend seperti ini telah mendorong inovasi dalam model perniagaan, pemindahan pengetahuan dan akses ke pasaran antarabangsa.

“Sehingga Mac 2019, sejumlah 4.3 bilion orang disambungkan ke Internet dan menjelang 2022, angka ini dijangka berkembang pesat kepada 4.8 bilion.

“Perniagaan yang tidak memanfaatkan teknologi ini akan hilang peluang pertumbuhan, produktiviti jualan dan ekonomi secara amnya,” katanya.

AKI 2018 yang mendapat penyertaan 84 syarikat menyaksikan tujuh pemenang dalam empat kategori dipertandingkan iaitu Perkilangan, Perkhidmatan, Terbuka dan Kategori Perdana Menteri.

Kategori Perdana Menteri iaitu kategori tertinggi dimenangi KPJ Ipoh Specialist Hospital yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000.

AKI yang diperkenalkan MITI pada 1991 bertujuan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang unggul dan mencapai kecemerlangan dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan.

Pada 2012, AKI telah melalui proses penjenamaan semula termasuk mengkaji semula konsep dan mekanisme penganjuran, kategori pertandingan, proses penilaian serta insentif kepada pemenang.

Sejak 2016, satu kategori baharu iaitu Kategori Terbuka diperkenalkan kepada syarikat multinasional (dari sektor pembuatan dan perkhidmatan).

Anugerah AKI yang paling eksklusif dan utama adalah Anugerah Perdana Menteri sebagai pengiktirafan kecemerlangan industri keseluruhan.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 10:50pm
d