mutakhir

Sakit pun angkut air

Oleh Firdaus Hashim

SERDANG: Warga emas yang juga penghidap kanser ini terpaksa berkorban mengangkat air dari sungai berdekatan selepas mukim Relau, Serdang, Kedah tidak menerima bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) sejak lima bulan lalu.

Lebih menyayat hati apabila Eshah Cha berusia 68 tahun yang mendapatkan rawatan kemoterapi sejak dua tahun lalu terpaksa menggagahkan diri mengangkut air untuk kegunaan empat cucu dan suaminya.

Baginya, ketiadaan air di mukim berkenaan khususnya Kampung Kilang Batu nyata menyukarkan kehidupan keluarganya yang terpaksa mendapatkan air di sungai atau menakung air hujan.

“Jika tiada bekalan elektrik, tak mengapa, tapi air sangat penting untuk kami lakukan urusan seharian. Walaupun sakit, terpaksa juga ambil air di sungai.

“Kalau hujan turun lega sikit, tapi kalau berhari-hari tak hujan, seksa sungguh kami,” katanya di mukim berkenaan, baru-baru ini.

Isu masalah air di kawasan itu bukan baharu sebaliknya sudah berlanjutan berpuluh tahun. Penduduk di mukim Relau terpaksa mengorek telaga sendiri untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian.

Walaupun kerajaan Kedah turut menyalurkan air bersih menerusi SADA, bekalan air sering terputus dan berlarutan beberapa hari hingga mengganggu urusan harian penduduk mukim itu.

Namun sejak Disember tahun lalu, tiada pihak menyalurkan bekalan air di kawasan berkenaan yang menimbulkan tanda tanya penduduk.

Difahamkan, empat kampung terjejas teruk iaitu Kampung Kilang Batu, Kampung Hulu Relau, Kampung Padang Relau dan Kampung Menara condong membabitkan hampir 600 penghuni.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi dengan melihat sendiri air telaga untuk kegunaan harian itu ternyata sangat meloyakan.

Meskipun air berkenaan berbau dan keruh, penduduk tetap menggunakannya demi kelangsungan hidup. Jika kemarau berlanjutan, penduduk terpaksa pula mendapatkan air sungai atau parit untuk kegunaan mereka.

Penduduk Mazlan Mat, 57, pula terpaksa memasang palong air di sekeliling bumbung rumahnya bagi menakung air hujan.

Dia akui terpaksa mengorbankan duit simpanannya untuk membuat palong dan membeli beberapa tangki air besar yang mencecah ribuan ringgit berikutan ketiadaan air.

“Apabila tiada air, macam-macam masalah timbul. Bukan saja kena cari air di sungai, saya juga menghabiskan duit membuat palong.

“Malah, masalah juga timbul ketika hendak memandikan jenazah. Pernah beberapa kali kariah kami terpaksa hantar jenazah ke kampung sebelah kerana tak boleh nak mandikan jenazah,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 6:00am
d