mutakhir

Maut rempuh pacuan empat roda

Oleh Ramli Ibrahim

REMAJA maut apabila motosikalnya merempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 19 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, Syafiq Aiman Mohd Noor, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian mangsa menunggang Yamaha 125Z dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki datang dari arah bertentangan tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan.

“Mangsa tidak sempat menekan brek merempuh kenderaan itu.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan dituntut keluarga untuk dikebumikan pagi ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 11:51am
d