mutakhir

Aktiviti bersih pantai terbesar di Malaysia

Oleh Helmy Abd Rahman

PROGRAM Terengganu ‘Go Clean’ iaitu aktiviti pembersihan pantai secara serentak di seluruh Terengganu hari ini mengukir sejarah tersendiri apabila disertai 16,390 peserta.

Ia membolehkan acara itu dimasukkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) membabitkan aktiviti pembersihan pantai paling ramai disertai di negara ini.

Lebih menarik, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mencemar duli mengunjungi lokasi utama acara berkenaan di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, acara yang bermula 8 hingga 11 pagi itu diadakan serentak di 30 lokasi membabitkan 500 peserta di setiap lokasi sepanjang pesisir pantai Terengganu.

“Satu sejarah ditempa hari ini apabila kita mencipta rekod dalam aktiviti pembersihan pantai membabitkan penyertaan 16,390 peserta di 30 lokasi di seluruh Terengganu.

“Kita berjaya mencipta rekod dalam MBOF iaitu penyertaan peserta paling ramai dalam aktiviti pembersihan pantai di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada program Terengganu Go Clean di Pantai Teluk Ketapang hari ini.

Menurutnya, acara itu diharapkan menjadi pemangkin bagi masyarakat di negeri itu membudayakan aspek kebersihan bukan hanya di kediaman sendiri malah di tempat awam.

“Tambahan pula tidak lama lagi kita menyambut kedatangan Ramadan dan selepas itu Aidilfitri, tentulah timbul cabaran selepas raya apabila ramai kembali ke ibu kota selepas pulang ke kampung.

“Kita perlu memberi perhatian dan saya minta semua pihak menjalankan tugas masing-masing untuk mengekalkan kebersihan,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 5:29pm
d