mutakhir

Lerai belenggu derita

Oleh Mahaizura Abd Malik

ISTERI yang terbelenggu dengan status ‘digantung tidak bertali’ tidak perlu menanti lama sebaliknya boleh memohon perceraian melalui tiga kaedah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, golongan isteri seharusnya tahu apa hak mereka jika ditinggalkan suami lebih daripada tempoh sepatutnya.

“Isteri boleh minta fasakh menggunakan alasan ditinggalkan suami lebih setahun atau tidak diberi nafkah lebih tiga bulan.

“Permohonan fasakh juga boleh dibuat sekiranya pasangan duduk satu bumbung tetapi suami tidak beri nafkah tiga atau empat bulan.

“Manakala, taklik pula boleh dimohon bagi kes suami yang meninggalkan isteri empat bulan berturut-turut dan tidak memberi nafkah selama tempoh itu,” katanya.

Katanya, isteri juga boleh menggunakan kaedah hakam bagi membebaskan diri daripada belenggu ikatan perkahwinan tergantung.

“Kaedah hakam satu lagi alternatif baru dalam proses perceraian yang diguna pakai di Selangor pada 2014 dan diikuti Negeri Sembilan, 2017.

“Kaedah ini tidak perlu perbicaraan, ia lebih kepada proses perantara iaitu dengan melantik pihak ketiga untuk putuskan perkahwinan itu diteruskan atau dibubarkan.

“Hakam boleh digunakan untuk kes suami isteri tinggal sebumbung, tetapi tiada sefahaman dan tidak menjalankan tanggungjawab tetapi suami belum mahu lepaskan isterinya.

“Ia juga terpakai bagi kes suami tidak balik rumah lebih empat bulan dengan meninggalkan isteri dan anak tanpa nafkah,” katanya.

Musa berkata, jika isteri tidak memohon perceraian, mereka boleh membuat permohonan mahkamah untuk memerintahkan suami membayar nafkah.

“Nafkah dikira bermula tempoh tinggal bersama berterusan sampai bercerai hidup atau meninggal dunia, jadi dari segi hukum suami wajib bayar isteri.

“Dari segi undang-undang syariah, nafkah yang suami tidak bayar dalam tempoh gantung itu maka mahkamah boleh arah suami bayar hutang nafkah tertunggak isteri, jika gagal suami boleh dipenjarakan mengikut jumlah dan tahun tertunggak.

“Jadi, jangan ingat suami tinggalkan isteri dia boleh lepas tangan, tetapi masih dipertanggungjawabkan bayar hutang nafkah,” katanya.

Dari segi prosedur, katanya bagi semua kes perceraian proses permohonan perlu dibuat di mahkamah syariah negeri tempat tinggal semasa isteri.

“Proses cerai mudah, tetapi biasanya menjadi rumit dan lambat apabila dokumen tidak dapat diserahkan kepada suami kerana tidak tahu di mana atau tidak lagi menetap di alamat terakhir.

“Jadi, ada dua kaedah biasa digunakan untuk kes seperti ini iaitu mengiklankan di akhbar dan tampal di alamat terakhir sebelum perbicaraan diteruskan bagi membolehkan hakim membuat keputusan.

“Bagi dokumen yang diterima, mahkamah boleh mula perbicaraan walaupun tanpa kehadiran suami,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian terbaik adalah melepaskan ikatan perkahwinan itu secara baik berikutan kes digantung tidak bertali satu bentuk kezaliman terhadap isteri dan anak.

“Faktor berlaku isu ini apabila suami berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri serta lari daripada tanggungjawab termasuk tidak mampu membayar nafkah.

“Satu lagi kerana keegoan dan sentimen orang sekeliling apabila sesetengah suami menganggap bercerai itu perkara memalukan dan menjatuhkan maruahnya.

“Ada juga kes kerana suami mahu membalas dendam terhadap isteri yang nusyuz atau ada orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 7:28am
d