mutakhir

Cikgu seronok bela ayam

Oleh Syaherah Mustafa

BIASANYA hobi memelihara ayam dimonopoli lelaki, namun peserta wanita tunggal di pertandingan Karnival Ayam Sorak Negeri Kelantan, di Taman Orkid, Pengkalan Chepa, semalam mencuri tumpuan peserta dan pengunjung.

Hamsiah Abidin, 47, membawa empat daripada lebih 20 ekor ayam jantan peliharaannya untuk bertanding merebut gelaran juara.

Ibu kepada empat anak itu tidak pernah menghiraukan ‘suara sumbang’ yang mempertikaikan minatnya menyertai pertandingan ayam memandangkan ia bukan satu kesalahan.

Katanya, hobi ini juga turut dikongsi bersama suami, Zurizam Ibrahim, 52, dan anak sulung, Muhammad Firdaus Afzal , 26.

“Kami anak beranak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama melalui aktiviti ini.

“Boleh dikatakan setiap petang selepas balik dari mengajar di sekolah, saya akan ke tempat pertandingan ayam berkokok di merata tempat yang diadakan secara kecil-kecilan.

“Setiap bulan saya menghabiskan ratusan ringgit untuk menyediakan keperluan makanan termasuk minyak ikan dan vitamin bagi memastikan semua ayam sihat dibawa bertanding,” katanya ketika ditemui di Karnival Ayam Sorak Negeri Kelantan, di Taman Orkid, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, semalam.

Hampir 1,000 ekor ayam jantan dibawa bertanding dalam karnival terbabit yang turut disertai peserta dari Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

Pertandingan dinilai menerusi ayam yang berkokok paling banyak dalam tempoh yang ditetapkan.

Ayam yang membuat sekurang-kurangnya 35 kokokan dalam tempoh 15 minit atau istilahnya berjaya mendapat ‘cing’ sebelum ke peringkat seterusnya.

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak, Bachok itu berkata, dalam pertandingan itu, dua ayamnya menjadi antara 43 ayam yang mendapat tempat di pusingan akhir.

“Menang atau kalah itu adat bertanding, yang penting adalah kemeriahan serta kepuasan apabila dapat menyertai pertandingan ayam berkokok.

“Minat terhadap pertandingan ayam ini bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan malah mengeratkan lagi hubungan saya dengan suami dan anak-anak,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 8:54am
d