mutakhir

Maut motosikal bertembung 4WD

Oleh Rosli Ilham

LELAKI maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pulau Serai Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam, Mohd Daniel Ikhwan Mat Shah, 21, yang menunggang motosikal jenis EX5 meninggal dunia akibat parah di kepala dan bahagian dalam badan.

Dia disahkan meninggal dunia kira-kira 12 tengah malam ketika sedang diberikan rawatan kecemasan di Hospital Dungun.

Rakannya, Mohd Nazli Nawang, 20, beralamat di Kampung Gong Pasir yang patah bahu turut menerima rawatan di hospital sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Dungun ke Kuala Terengganu gagal mengelak pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan dan secara tiba-tiba memasuki satu persimpangan di situ.

Pertembungan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. Pemandu pacuan empat roda terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes ini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 9:38am
d