mutakhir

Panjang semakin sihat

Oleh Ramli Ibrahim

“ALHAMDULILLAH, saya kini semakin sihat,” kata Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25.

Mohd Azli atau lebih dikenali sebagai Panjang diiktiraf sebagai individu paling tinggi oleh Malaysia Book of Records pada 2014 dengan ketinggian 2.11 meter.

Katanya, selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala pada Oktober tahun lalu dia perlu menjalani beberapa rawatan susulan di hospital.

“Sebelum ini, saya tidak dapat berdiri lama kerana tidak sihat, namun sekarang sudah dapat berbuat demikian.

“Kini, saya semakin sihat dan sentiasa terbuka menerima jemputan pelbagai pihak untuk memeriahkan majlis,” katanya ketika ditemui dalam Festival Galas 2019 di Dataran Kesedar Bandar Baru, Gua Musang, malam tadi.

Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Kehadiran Mohd Azli berjaya menarik perhatian orang ramai yang tidak melepaskan peluang berswafoto dengannya.

Malah, Tengku Razaleigh turut terpegun melihat ketinggian jejaka berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 3 itu.

Mohd Azli yang kini memiliki ketinggian 2.20 meter berkata, dia masih membantu bapanya di kedai makan sementara menunggu tawaran kerja yang sesuai.

“Saya bukan memilih kerja namun keadaan kesihatan selain masih perlu menjalani rawatan susulan memaksa saya menolak beberapa tawaran kerja sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya sedia pertimbangkan jika pekerjaan ditawarkan bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Kamarudin Ali, 54, berkata dia teruja apabila kali pertama melihat individu mempunyai ketinggian luar biasa.

“Sebelum ini, saya ada terbaca dalam akhbar mengenai lelaki tertinggi itu. Ini kali pertama saya dapat melihat sendiri dan mengambil peluang bergambar dengannya,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 11:08am
d