mutakhir

Nak mengawan ke?

Oleh Khalid Latip

KEMUNCULAN ‘Sang Bedal’ bagaikan lumrah bagi penduduk setempat, terutama mereka yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri di Sungai Igan, di Mukah.

Malah, kehadiran reptilia pemangsa itu dapat dilihat jelas ‘berjemur’ di kawasan tebing sungai berkenaan, khususnya ketika air surut.

Namun, berbeza pula keadaannya semalam apabila orang ramai dikejutkan dengan kemunculan sepasang buaya berhampiran kawasan jeti feri.

Aksi pasangan buaya itu sempat dirakamkan seorang daripada pengguna feri berkenaan sebelum dimuatnaik ke laman sosial, termasuk Facebook.

Malah, rakaman video berdurasi 49 saat itu turut tular di laman sosial, selain mendapat lebih 100,000 tontonan.

Seorang pengguna feri, Abdul Latip Sirat, 30, berkata, pada mulanya mereka menyangka objek terapung berhampiran jeti feri berkenaan adalah kayu balak hanyut.

“Namun, objek berkenaan rupa-rupanya dua ekor buaya sebaik sahaja menghampiri pangkalan feri. Saiz kedua-duanya memang besar dan mencecah empat meter panjang.

“Kedua-dua haiwan ini berenang dari kawasan hulu menuju ke muara. Sebaik tiba di jeti, mereka kelihatan seperti cuba menggigit antara satu sama lain menyebabkan air berkocak hingga menarik perhatian ramai,” katanya.

Norazimah Ismail, 24, pula berkata, walaupun reptilia itu muncul beberapa minit, namun saiz kedua-duanya cukup menggerunkan.

“Saya boleh lihat sendiri badannya yang besar dan ekornya yang panjang.

“Kehadiran reptilia ini perlu dipandang serius oleh pihak berwajib. Ia adalah sesuatu yang amat membimbangkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 12:04pm
d