mutakhir

Derita jangkitan kuman dalam tulang

Oleh Mohd Rafi Mamat

“SETIAP bulan mak membelanjakan kira-kira RM800 untuk membeli susu khas bagi menguatkan tulang pinggul kiri saya yang lemah,” kata Muhammad Shamsulbahrib Rozlisham, 14, yang menderita jangkitan kuman dalam tulang sejak tahun lalu.

Pelajar Sekolah Sukan Seberang Temerloh itu berkata, ibunya, Siti Khatijah Abd Manaf, 46, yang berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pembantu jurujual tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, termasuk lima adiknya.

Katanya, sakit dihidapinya menjadi serius sehingga tidak mampu berjalan dan kerap demam menyebabkan guru terpaksa menghantarnya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh bagi mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kerana berdekatan dengan keluarganya.

“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan saya menghidap jangkitan kuman dalam tulang yang memerlukan rawatan secara berterusan bagi mengelak kesan lebih buruk.

“Baru-baru ini, doktor sahkan kuman sudah tiada, tetapi, saya masih sukar untuk bergerak dan memerlukan tongkat,” kata yang menetap di perumahan Panching, Kuantan.

Muhammad Shamsulbahrib ditemui selepas menyaksikan perlawanan bola sepak amal antara pasukan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menentang veteran Sungai Lembing bagi mengumpul sumbangan untuknya di padang awam Sungai Lembing, semalam.

Hasil perlawanan amal itu, sebanyak RM8,600 dikumpul sumbangan orang ramai yang akan digunakan untuk pembedahannya yang dianggarkan berjumlah RM9,000.

“Namun, pada usia 20 tahun barulah saya dapat menjalani pembedahan memandangkan sekarang ini masih dalam proses pemulihan untuk menguatkan tulang.

“Saya sedih memikirkan pengorbanan yang terpaksa ditanggung mak sebagai ibu tunggal yang berkorban demi membesarkan kami adik-beradik selepas ayah meninggal tahun lalu,” katanya.

Dia berkata, penyakit dialaminya menambahkan lagi bebanan ibu yang terpaksa bergantung kepada pendapatan yang tidak seberapa, selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Untuk ke sekolah, saya terpaksa menumpang cikgu Azmi Nur yang banyak membantu dan prihatin dengan nasib saya,” katanya yang turut menerima Biasiswa Sekolah Sukan, Jabatan Pelajaran Pahang sebanyak RM800 setahun.

Muhammad Shamsulbahrib yang pernah menyertai kejohanan tunas Akademi Mokhtar Dahari serta bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) berkata, dia berhasrat untuk terus mewakili negeri dalam sukan bola sepak di peringkat kebangsaan.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 3:29pm
d