mutakhir

Kaut 2 tan hasil laut negara

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TINDAKAN 19 nelayan Vietnam termasuk seorang tekong menceroboh dan menangkap ikan kira-kira 60 batu nautika di perairan Kuantan, mengundang padah apabila mereka ditahan.

Dalam kejadian 11 pagi hari ini, nelayan terbabit ditahan kapal KD Terengganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Pahang Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, kehadiran bot nelayan itu disedari kapal TLDM berkenaan ketika melakukan rondaan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Anggota TLDM menahan bot itu dan menyerahkan kepada kita, pemeriksaan dalam bot berkenaan menemui hampir dua tan hasil laut yang dipercayai ditangkap di perairan negara.

“Semua nelayan berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala awak-awak boleh didenda sehingga RM100,000 setiap seorang dan penjara tidak melebihi dua tahun.

Zulkarnain berkata, pihaknya merampas hasil laut dan bot berkenaan yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan TLDM dalam memastikan zon maritim Malaysia bebas pencerobohan bot nelayan asing.

“Sehingga hari ini kita sudah menjalankan 350 pemeriksaan terhadap bot nelayan asing dan melakukan 18 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Orang ramai terutama komuniti nelayan tempatan diminta membantu menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah maritim dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pahang 09 5717345,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 3:30pm
d