mutakhir

Tinggal bayi di pondok bas

Oleh Rosli Ilham

“MUKA bayi itu sudah kebiruan sebab menangis terlalu lama,” kata pengusaha kedai makan, Maznah Abdul Ghani, 56, yang menemui bayi lelaki di pondok menunggu bas di Felda Jerangau, Dungun, jam 7.30 pagi hari ini.

Maznah berkata, sebelum kejadian, dia berada di kedai makannya yang terletak kira-kira 500 meter dari pondok itu.

“Seorang peneroka yang menemui bayi itu datang ke kedai dan meminta bantuan saya segera ke sana.

“Saya bergegas ke tempat itu dan mendapati bayi menangis dengan kuat sehingga mukanya kebiruan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dia berkata, ketika ditemui, bayi yang lengkap berpakaian itu dalam keadaan menggigil kesejukan dengan seluarnya dipenuhi najis.

“Saya percaya ketika ditemui, bayi itu sudah ditinggalkan beberapa jam. Sebaik menemuinya, saya terus bungkus bayi itu dengan tuala.

“Selepas itu saya minta seorang penduduk menghantar bayi itu ke klinik kesihatan berhampiran sebelum pulang semula ke kedai,” katanya.

Menurutnya, dia sangat sedih dengan sikap ibu bayi itu yang sanggup meninggalkan anaknya namun bersyukur dia masih hidup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, bayi terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 5:25pm
d