mutakhir

Seronok petik sendiri sayur [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

PROGRAM Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang sempena Hari Bumi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kebun Komuniti Lapan Timur, Seksyen 8, Shah Alam, hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Kebun diusahakan penduduk setempat terutama pesara dan suri rumah itu membabitkan penanaman pelbagai sayuran secara organik di plot disediakan.

Peserta, Tukilah Hashim, 59, berkata dia mula menceburi bidang penanaman sayur organik di kebun berkenaan sejak dua tahun lalu.

Menurut suri rumah yang turut menerima Anugerah Pekebun Paling Aktif itu, aktiviti berkenaan mengisi masa lapangnya yang memperuntukkan dua jam sehari untuk berkebun.

“Saya minat dengan aktiviti berkebun sejak sekian lama. Sebelum ini saya hanya bercucuk tanam di rumah dan tanah terhad untuk menanam pelbagai sayur.

“Pelbagai sayur ditanam termasuk kangkung, sawi, kubis dan salad. Semua sayur itu saya jual atau beri kepada jiran dan bertukar dengan pekebun lain.

“Hasil jualan diperoleh cukup untuk menampung modal dan baja. Selain menyihatkan tubuh badan, aktiviti ini mengeratkan lagi silaturahim komuniti setempat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada program itu, pelbagai sayuran dijual dengan harga murah kepada orang ramai antaranya bayam, kangkung, sawi, pucuk ubi, ulam-ulaman dan lemon.

Pembeli yang juga kakitangan kerajaan, Nurul Hawa Muhammad, 27, dia berharap program berkenaan diperluaskan lagi terutama di kawasan bandar.

“Saya teruja mengetahui mengenai program ini yang membolehkan kami membeli pelbagai sayuran dengan memetik sendiri dari ladang.

“Harga ditawarkan amat murah bagi sayur organik yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Sementara itu, Siti Mariah berkata, program berkenaan diharap menjadi contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain untuk menubuhkan kebun komuniti di dalam kawasan pentadbiran mereka.

“Sehingga kini, MBSA sudah mempunyai 10 kebun komuniti membabitkan penanaman pelbagai sayuran dengan konsep landskap cantik.

“Kebun komuniti bukan hanya sekadar aktiviti keluar peluh dan penghilang stres, malah mendidik komuniti mengamalkan pemakanan sayuran bebas daripada racun serangga dan baik untuk kesihatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 7:45pm
d