mutakhir

Alhamdulillah, ada pihak sudi bantu

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SUMBANGAN ini amat membantu kami menyediakan keperluan harian,” kata Rusyati Ismail, yang bukan sahaja menghidap pelbagai jenis penyakit kronik iaitu masalah buah pinggang, fibroid dan angin ahmar, malah berdepan proses perceraian, sekali gus hilang tempat bergantung.

Rusyati, 52, ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kota Care Kota Bharu di rumahnya di Taman Permint Permata, Kampung Butut, Kuala Berang, semalam.

Rusyati berkata, dia tidak sangka kisah sedih menimpanya dan dua anaknya yang disiarkan di Harian Metro itu mendapat perhatian masyarakat.

“Sudah lama saya dan dua anak menderita kerana kesempitan wang dan dibelenggu pelbagai penyakit kronik.

“Bagaimanapun hari ini, masalah dialami itu mendapat perhatian orang ramai termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Kota Care Kota Bharu itu dan sedikit sebanyak sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kesempitan hidup Rusyati bersama dua anaknya apabila menempuh keperitan hidup sejak dua tahun lalu.

Lebih menyedihkan, permohonannya mendapatkan faedah persaraan sebagai pembantu tadbir di Politeknik Kota Bharu, Kelantan kerana masalah kesihatan sehingga sekarang tidak berjaya.

“Selain mengharapkan simpati dan sumbangan masyarakat, saya memohon pihak majikan terdahulu mempercepatkan proses pemberian faedah persaraan kerana masalah kesihatan sebagai pembantu tadbir itu.

“Saya yakin pemberian faedah persaraan itu nanti boleh menampung perbelanjaan saya dan dua anak yang masih bersekolah.

“Situasi sekarang memaksa saya meraih simpati adik-beradik, saudara-mara dan rakan baik untuk menampung perbelanjaan saya dan anak.

“Sampai bila ingin menyusahkan, membebankan orang lain... Saya mengharapkan hak saya itu diserahkan dengan secepat mungkin,” katanya.

Pada majlis itu, Presiden Kota Care, Wan Nor Anas Wan Yusoff menyerahkan sumbangan wang tunai dan pelbagai barangan keperluan harian kepada Rusyati.

Berita berkaitan

'Bantulah kami...'

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 12:52am
d