mutakhir

Atuk tokan dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI disyaki tokan dadah ditahan polis kerana memiliki dadah jenis heroin dalam serbuan di tepi jalan Kampung Bukit Kechil, dekat Pendang, semalam.

Suspek berusia 60 tahun itu, patah kaki kiri dipercayai terbabit kemalangan sebelum ini dan ketika ditahan dia dilihat masih boleh memandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu untuk membawa dadah berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pendang yang turut dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang ternampak kenderaan suspek di lokasi kejadian pada 9 pagi.

Beliau berkata, sebaik menghampiri kenderaan itu, anggotanya ternampak lelaki itu sedang duduk di bahagian pemandu kereta berkenaan.

“Berikutan itu, anggota kami melakukan pemeriksaan dalam kemalangan kenderaan terbabit dan menemui satu bungkusan plastik lutsinar yang berisi serbuk dan ketulan putih yang disyaki dadah seberat 225 gram.

“Dadah itu ditemui di tepi paha sebelah kiri atas tempat duduk pemandu dan satu alat penimbang digital yang ditemui atas pelapik kaki di bawah kakinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, berikutan itu suspek ditahan manakala dadah yang ditemui dirampas untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, nilai dadah yang dirampas adalah sebanyak RM6,750 malah berdasarkan siasatan, suspek tidak bekerja dan sudah berkahwin.

“Suspek yang juga penduduk tempatan itu pernah memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Arriz Sham berkata, turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda RS150 untuk membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif morfin.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 9:08am
d