mutakhir

Terbaiklah, adik-adik!

Oleh Rosman Shamsudin

TIGA murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 di Behrang, merangkul Anugerah Silver pada Festival Ciptaan Antarabangsa dan Inovasi Teknologi Hijau 2019 (i-Finog) di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Pahang, semalam.

Darwish El Farris Ahmad Zaini,10; Ahmad Thaqif Aisar Abd Hadi,11, dan Muhamad Aiman Azeze,12, memenangi anugerah itu melalui inovasi penyedut minuman bio yang dihasilkan daripada daun serai dan kertas bagi menggantikan penyedut minuman plastik.

Ketiga-tiga murid dibimbing guru Sains, Dr S Shantarasekaran itu, berjaya memenangi anugerah itu pada pertandingan yang turut disertai 338 pasukan antaranya dari Kazakhstan, India, Jerman, Indonesia dan Sudan.

Shantarasekaran berkata, penyedut minuman semula jadi dikenali sebagai ‘BioSegar EcoStraw’ itu bersifat mesra alam dihasilkan melalui projek inovasi murid, bertujuan menggantikan penggunaan penyedut minuman plastik sedia ada.

“Penyedut minuman bio ini mudah dilupuskan jika dibuang kerana diperbuat daripada bahan semula jadi jika dibandingkan dengan penyedut minuman plastik.

“Walaupun gagal mengekalkan Anugerah Gold (Anugerah Emas) yang dimenangi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah pada bulan lalu, namun ini tidak akan mematahkan semangat murid-murid sekolah ini untuk terus mencuba dalam pertandingan lain.

“Paling penting, mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat hari ini bahawa mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan penyedut minuman yang lebih selamat dan mempunyai aroma yang unik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shantarasekaran berkata, penggunaan penyedut minuman bio itu juga dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar sekaligus memberikan pilihan kepada pengguna untuk terus menggunakan penyedut minuman mesra alam.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 10:23am
d