mutakhir

CRT bukan untuk dimuat naik [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, memerintahkan supaya rakaman transkrip prosiding mahkamah (CRT) membabitkan perbicaraan kes dana SRC International yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dimuat naik atau diedarkan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat perintah itu selepas mendengar permohonan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhubung isu penyebaran rakaman CRT kes itu di media sosial minggu lalu

“Laporan polis sudah dibuat berhubung perkara ini, oleh itu mahkamah tidak boleh menghakimi perkara itu memandangkan ia masih dalam siasatan.

“Sebarang rakaman, bukan sahaja siaran langsung dan termasuk CRT tidak dibenarkan. CRT digunakan untuk kegunaan pendakwa raya, peguam dan mahkamah untuk tujuan transkripsi dan bukan untuk dimuat naik,” katanya.

Menurutnya, mahkamah berharap pendakwaan dan pembelaan mengikut arahan itu dan orang awam tidak boleh membuat komen yang tidak wajar kerana ia boleh dianggap menghina mahkamah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram memohon arahan mahkamah berhubung isu itu memandangkan bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil, ada membuat akujanji tidak akan menyebarkan rakaman Transkrip Rakaman Mahkamah (CRT) membabitkan kes Najib itu.

“Rakaman di dalam mahkamah tidak boleh diedarkan. Oleh itu kami memohon arahan mahkamah supaya pihak ketiga tidak memuat naik prosiding mahkamah.

“Apabila CRT di ambil, mereka akan membuat akujanji bahawa ia hanya untuk kegunaan di mahkamah sahaja dan tidak boleh mengedar, membuat salinan atau memuat naik dalam apa jua bentuk kepada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya CRT itu dimuat naik bagi membolehkan orang awam membuat perbandingan apa yang sebenarnya berlaku di mahkamah berbanding dengan laporan dibuat oleh media.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya sudah mengemukakan perintah larangan menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes jenayah yang dihadapinya.

“Permohonan kami sebelum ini sudah ditolak. Jika ia dibenarkan perkara seperti ini tidak akan berlaku. Yang Arif, mereka yang tidak boleh berada di sini (mahkamah terbuka) akan berada di bilik rakaman langsung yang terletak di dewan mahkamah lain, oleh itu apa perbezaannya?

“Kami mahu perbicaraan ini dibuat siaran langsung. Apa yang merugikan jika ia dimuat naik. Kita sepatutnya buat ia siaran langsung seperti perbicaraan membabitkan OJ Simpson. Pihak pendakwaan yang bantah perintah larangan dulu. Sekarang siapa makan cabai, dia terasa pedas,” katanya.

Minggu lalu, prosiding mahkamah membabitkan Najib tercemar apabila CRT dalam kamar mahkamah mula tular di laman sosial Facebook.

Video berdurasi dua minit 12 saat itu yang bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menyoal saksi dalam kes itu.

Difahamkan, rakaman itu dimuat naik Isham Jumaat lalu, dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.

Menerusi tajuk dimuat naik Isham, adalah dipercayai bahawa rakaman CCTV itu diambil ketika prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis buka kertas siasatan

Polis buat laporan

Rakaman CCTV bicara Najib tular

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 11:42am
d