mutakhir

Ustaz maut kereta langgar pokok

Oleh Zuliaty Zulkiffli

GURU agama maut selepas kereta Proton Persona yang dipandunya terbabas di tepi jalan selepas melanggar pokok di Batu 3, Jalan Langgar, di Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian, mangsa, Razak Awang, 73, yang juga Naib Pengerusi Madrasah Raudhatul Islah, Kuala Alor Simpang Kuala, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Khairil Anwar Said berkata, pihaknya menerima panggilan 8.18 pagi dan sepasukan anggotanya tiba 8.23 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai enam anggota dan dua jentera termasuk sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi didapati mangsa masih berada dalam kenderaan itu dan anggota kami berusaha mengeluarkannya kerana mangsa tidak tersepit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian sebelum kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 12:57pm
d