mutakhir

'Steady' lah Tok Batin

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

TOK Batin dari Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, Pahang, Mohamad Nohing teruja apabila berpeluang berucap di depan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perasmian Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mohamad diberi peluang mewakili Tok Batin dari seluruh negara selain Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) yang hadir pada konvensyen itu.

Beliau berucap selepas ucapan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Wayta Moorthy. Terdahulu, Dr Mahathir merasmikan konvensyen berkenaan.

“Saya adalah Tok Batin dari Bera, Pahang. Apa yang lebih istimewa pagi ini, saya berucap di depan Perdana Menteri Malaysia yang mana sebelum ini tidak pernah berlaku.

“Malah, pusat konvensyen ini pun saya tidak pernah masuk,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohamad berkata, dia yakin dan percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat melakukan yang terbaik untuk membangunkan masyarakat Orang Asli.

“Masyarakat kami masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang walaupun jumlah penduduk Orang Asli di Semenanjung Malaysia sekitar 250,000. Tak ramai Tun (Dr Mahathir).

“Kami menghadapi kehilangan tanah adat yang berterusan kerana tiada pengiktirafan daripada kerajaan terdahulu. Saya berharap kerajaan PH dapat merealisasikan isu ini.

“Tanah ini adalah seperti nyawa kami untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga. Kami tidak ada harta selain tanah adat ini. Di sinilah tempat kami bercucuk tanam, mengumpul sumber hutan, sumber pendapatan dan sumber perubatan,” katanya.

Mohamad berkata, dia juga mahu kerajaan memberi pembelaan sewajarnya termasuk menyediakan jalan kampung, sekolah, sumber air bersih dan kemudahan jalur lebar.

“Kami juga meminta kerajaan mencari mekanisme supaya anak muda Orang Asli dapat memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 1:03pm
d