mutakhir

Berteduh di pondok daif

Oleh Siti Rohana Idris

LAPAN beranak yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Bukit, Wakaf Bharu, baru-baru ini, kini menghuni sebuah pondok daif selepas rumah disewa mereka musnah.

Juhar Zakaria, 41, bersama isteri serta enam anak berusia antara dua hingga 13 tahun terpaksa berteduh di sebuah pondok berlubang di dinding dan bumbung bocor kerana tiada tempat berlindung.

Katanya, rumah itu adalah milik seorang penduduk kampung yang dermawan dan mereka berlapan pernah menghuninya selama beberapa tahun dan berpindah ke rumah sewa sebelum terbabit dalam kebakaran.

“Walaupun agak uzur dengan lantai serta bumbung berlubang, namun rumah ini masih ada bekalan elektrik dan sumber air dari perigi.

“Banyak perlu saya baik pulih termasuk menyediakan bilik, tandas dan tempat mandi yang berada di luar rumah kerana anak semakin meningkat remaja,” katanya ketika ditemui di Tumpat, hari ini.

Juhar yang juga seorang buruh berkata, buat sementara ini mereka tidak mampu menyediakan peralatan dan kelengkapan rumah lain, sebaliknya hanya menumpukan kepada tempat untuk berteduh sahaja serta akur kembali menghuni pondok usang.

Terdahulu, dalam kejadian 9 April lalu, rumah sewa yang dihuni lapan beranak itu hangus dalam kebakaran jam 5.15 pagi menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian itu turut menyebabkan Juhar melecur di tangan kiri selepas meredah masuk ke dalam rumah untuk mengambil dokumen penting selepas membawa keluar semua enam anaknya.

Juhar berkata, walaupun kecederaannya semakin pulih namun belum mampu untuk bekerja kerana banyak urusan tidak selesai termasuk mengambil dan menghantar lima anak masih bersekolah memandangkan semua basikal milik anak turut hangus dalam kebakaran.

Bagaimanapun, nasib menimpa Juhar sekeluarga mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menyampaikan sumbangan RM2,000 menerusi Timbalan Yang Dipertuanya (YDP), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Nik Mohd Azlan berkata, MAIK akan mempertimbangkan sebarang bantuan lain sekiranya masih diperlukan keluarga itu termasuk biasiswa pelajaran anaknya.

“Bagi baik pulih rumah dihuni mereka sekarang, permohonan untuk bantuan boleh dibuat dan pihak MAIK akan cuba membantu mengikut keperluan mereka.

“Kita juga akan melihat dari sudut pelajaran anak mangsa termasuk mempertimbangkan biasiswa bulanan di bawah Biasiswa Tengku Anis,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 2:28pm
d