mutakhir

Ombak saksi nikah

Oleh Nazri Abu Bakar

SETIAP pasangan mengimpikan detik tidak dapat dilupakan sepanjang hayat mereka terutamanya ketika majlis perkahwinan.

Ada yang sanggup mengadakan majlis perkahwinan serba mewah, gah dan pelbagai keunikan lagi, namun bagi pasangan Haris Siddik dan Nurnadiah Azhar, masing-masing berusia 24 tahun, memilih melakukan akad nikah di tepi pantai.

Jika majlis resepsi dianjurkan di tepi pantai, mungkin kurang janggalnya tetapi majlis akad nikah di Pantai Sungai Tuang, Pengkalan Balak, Alor Gajah, dianggap sangat unik.

Lebih unik, majlis akad nikah ini turut dihias cantik dengan dekorasi menarik seperti majlis di rumah, malah turut menyediakan singgahsana pelamin.

Nurnadiah berkata, dia dan suami berbincang menganjurkan majlis bersejarah di lokasi yang tidak biasa dilakukan pasangan lain.

“Apapun cadangan, kami perlu mendapat persetujuan keluarga saya dan suami terlebih dahulu sebelum memutuskannya kerana membabitkan kos tambahan.

“Mereka (keluarga) nyata tidak bermasalah memberi kebenaran, malah memberi kerjasama yang amat baik untuk perjalanan majlis berjalan lancar,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur bersama suaminya.

Bapa Nurnadiah, Azhar Mohd Jamil, 48 , berkata jiwanya cukup sinonim dengan laut kerana berasal dari Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan, dan tidak membantah anaknya mahu mengadakan majlis pernikahan di tepi pantai.

Katanya, dia bersyukur suasana tenang dan damai dengan angin laut menjadikan majlis terbabit begitu bermakna buat anak dan suaminya.

Tambah Azhar, keindahan semula jadi di pantai berkenaan bukan sahaja meninggalkan memori terindah buat anak dan menantunya, malah seluruh keluarga yang menetap di pekan Alor Gajah.

Sementara itu, Imam 1 Masjid Al Rasyidin Alor Gajah, Sabran Sidek, 52, berkata pengalaman menikahkan Haris dengan Nurnadiah di tepi pantai adalah yang pertama buatnya.

“Ini kali pertama saya menikahkan pengantin di tepi pantai,” katanya yang sudah empat tahun menjadi imam di masjid berkenaan.

Beliau berkata, walau di mana majlis dilangsungkan, tujuannya tetap sama iaitu membina masjid.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 6:15pm
d