mutakhir

MOTAC kurangkan bajet, tak jejas VMY2020 [METROTV]

Oleh Wan Faizal Ismayatim

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengakui terpaksa mengecilkan perbelanjaan tahunannya, selaras usaha kerajaan berjimat cermat bagi melangsaikan hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi bagaimanapun menjelaskan ia tidak menjejaskan usaha kementerian itu untuk menarik kedatangan lebih 30 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

“Bila berjimat, maka kita kena kurangkan bajet, tetapi bukanlah bila ia dikurangkan kita tak boleh buat sesuatu (program) sebab tak ada duit, tetapi kita kecilkan bajet, jadi skop lebih kecil.

“Antaranya (penjimatan) ialah kita kurangkan dari segi pengiklanan dan prasarana, tetapi promosi VMY2020 tak terjejas,” katanya dalam sidang media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, hari ini.

Mohamaddin berkata, selepas hampir setahun mengetuai MOTAC, beliau berpuas hati pencapaian kementeriannya apabila kemasukan pelancong terus menunjukkan angka memberangsangkan.

“Sekarang pelancong banyak masuk, dulu mereka tinggal di negara ini dua hingga tiga malam, namun sekarang lebih lama. Jadi mereka berbelanja lebih banyak dan pendapatan negara meningkat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata, keputusan muktamad mengenai levi pelepasan yang bakal dikenakan kepada individu meninggalkan Malaysia melalui penerbangan akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, beliau mengambil maklum ada pihak meminta kerajaan mengkaji semula levi berkenaan, namun ia akan diputuskan Kementerian Kewangan hasil perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Kita akan lihat nanti, kita akan bincang... nanti kita akan putuskan mengenai perkara ini,” katanya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mencadangkan kadar levi dikenakan adalah RM25 jika menuju ke negara ASEAN dan RM40 jika ke negara lain.

Pelaksanaan levi pelepasan ini dijangka akan membawa hasil sebanyak RM900 juta hingga RM1 bilion setahun.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 10:02pm
d