mutakhir

Longgok tepi jalan

Oleh Ibrahim Isa

SEWA lori dan kren semata-mata menjalankan kegiatan mencuri besi untuk pembinaan jambatan landasan kereta api.

Itu taktik digunakan lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berpengalaman dalam bidang pembinaan dan mengupah kontraktor selain menyewa kren dan lori kontena untuk mencuri batang besi dan mesin janakuasa bergerak sehari selepas majlis perasmian Johor Premium Outlet (JPO, 21 Mac lalu.

Difahamkan dalang utama itu bersama 18 individu lain mencuri besi keluli untuk pembinaan jambatan landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di sekitar Kulai dan Senai dalam kejadian 22 dan 25 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya tidak menolak suspek yang dikehendaki itu berpengalaman dalam bidang kontraktor berdasarkan modus operandi dilakukannya.

“Majlis perasmian JPO oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diadakan pada 21 Mac. Namun pada 22 Mac lalu, suspek mengarahkan kontraktor mengalihkan empat mesin janakuasa dan membawanya ke tempat lain.

“Suspek datang menggunakan kren dan lori untuk memindahkan alatan itu menyebabkan kakitangan JPO tidak menyangka peralatan itu sebenarnya dicuri dengan nilai kerugian RM481,000.

“Dalam kejadian berasingan pada 25 Mac di Kampung Pasir, Senai, kontraktor pembinaan terkejut apabila mendapati besi I-beam dan H-beam ditempatkan untuk pembinaan jambatan ETS hilang dengan nilai kerugian RM230,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, semalam.

Menurutnya, bertindak atas dua laporan berkenaan pihaknya menubuhkan pasukan khas diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai, Asisten Superintendan Mohd Nazrol Bongsu untuk mengesan suspek.

Katanya, hasil maklumat orang ramai dan intipan dilakukan, polis menahan 18 lelaki termasuk enam warga Bangladesh lingkungan 20 hingga 58 tahun menerusi beberapa siri tangkapan bermula 25 Mac hingga 17 April lalu di sekitar Kulai, Permas Jaya, Simpang Renggam dan Yong Peng.

“Selain itu kami menemui semula empat mesin jana kuasa termasuk satu yang dilaporkan hilang di Bandar Dato Onn, Johor Bahru dan 78 besi I-Beam pelbagai saiz di sekitar kawasan tangkapan.

“Kami dapati suspek meletak barang yang dicuri di tengah semak atau di tepi jalan. Dengan cara itu, orang ramai menyangka ia untuk projek pembangunan dan bukan barang curi.

“Kami percaya baki barang yang hilang sudah dijual dan semua barang rampasan disahkan pemiliknya. Kami dapati semua 18 lelaki itu mendakwa menerima kontrak mengalihkan besi dan mesin janakuasa itu dan tidak sedar mereka sebenarnya mencuri barang berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 7:01am
d