mutakhir

Mujur tidak ditimpa zink

Oleh Ahmad Ismail

“SAYA bernasib baik apabila ahli keluarga tidak cedera ditimpa kepingan zink yang jatuh di ruang tamu akibat ribut yang berlaku,” kata penduduk bandar Jementah di sini, Tan Boon Siong, 45, susulan ribut yang berlaku petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, ribut yang berlaku selama 30 minit menerbangkan atap 14 bangunan dan kediaman.

Tan berkata, ribut dan hujan lebat mengakibatkan atap rumahnya diterbangkan sejauh 40 meter selain kepingan zink jatuh dalam rumah.

“Beberapa peralatan rumah terutama peralatan elektrik dan perabot rosak akibat terkena air hujan.

“Ini kejadian kali pertama sejak kami tinggal di kawasan ini sejak lebih 20 tahun lalu dan terpaksa bergelap sementara menunggu bekalan elektrik dipulihkan. Apa yang dibimbangkan adalah litar pintas hingga berlaku renjatan elektrik berikutan beberapa suis utama turut dibasahi air hujan.

“Saya belum dapat menganggarkan kerugian dan akan membuat laporan polis. Saya turut akan meminta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Tan Chin Choon berkata, dia dimaklumkan ribut itu merosakkan tujuh premis perniagaan, tiga rumah, tiga gerai dan pondok menunggu bas.

“Semua bangunan mengalami kerosakan apabila atap diterbangkan ribut menyebabkan bahagian dalam dibasahi hujan lebat. Buat masa ini, saya menasihatkan semua mangsa supaya jangan membaiki suis bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Pada masa sama, mangsa diminta merujuk kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum melakukan kerja baik pulih,” katanya.

Menurutnya, mangsa ribut dinasihatkan membuat laporan polis dan pergi ke JKM untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 8:00am
d