mutakhir

Penganjur larian perlu hati-hati

Oleh Mohd Rafi Mamat

PENGANJUR larian membabitkan kawasan hutan lipur di Pahang perlu mengambil langkah keselamatan bagi memastikan tidak berlaku kes kemalangan dan kehilangan peserta.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, pihak penganjur perlu menyediakan petugas mencukupi bagi memantau pergerakan peserta sepanjang laluan, terutamanya di kawasan merbahaya seperti bukit dan hutan.

Katanya, usaha memperkenalkan tempat menarik tidak akan menjadi kenyataan jika berlaku perkara yang tidak diingini pada peserta program.

"Penganjur perlu mendapatkan nasihat dan cadangan daripada pihak berkuasa selain masyarakat setempat yang lebih memahami kawasan persekitaran kampung mereka.

"Walaupun kes kehilangan peserta larian dalam hutan tidak berlaku di negeri ini, namun langkah awal perlu diambil bagi mengelak daripada insiden tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelepasan Peserta Sungai Pandan Waterfall Fun Run di Kuantan, semalam.

Program julung kali itu disertai 230 peserta dan mereka perlu berlari sejauh lima kilometer (km) melalui denai air, jambatan gantung dan laluan pinggir hutan.

Ishak berkata, kejadian kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail bulan lalu yang hingga kini masih belum ditemui seharusnya menjadi pengajaran kepada pihak penganjur supaya memberi perhatian serius terhadap keselamatan peserta.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 8:49am
d