mutakhir

Alhamdulillah, dapat makanan percuma...

Oleh Shahrinnahar Latib

SERAMAI 700 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima bantuan makanan sihat secara percuma menerusi Program ‘We Love We Share: Take a Break with Healthy Food’ di UMP Gambang di Kuantan, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMP itu mendapat kerjasama Institusi Kefeloan UMP (IKUMP) sebagai menyokong amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penuntut UMP.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, kesedaran terhadap pentingnya pemakanan sihat mendorong pihaknya menyediakan makanan percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.

“Kita memberi keutamaan kepada mahasiswa golongan B40. Setiap penuntut menerima air minuman, buah epal dan sandwich,” katanya pada program berkenaan yang berlangsung di pejabat JHEPA UMP Gambang.

Beliau berkata, program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM) setiap kali mesyuarat mereka berlangsung.

“Pada kali ini mesyuarat MAPUM diadakan di sini, jadi program ini dijalankan bersama penuntut UMP. Kita teruja dengan kesungguhan kakitangan universiti dan delegasi MAPUM yang turun padang menyediakan juadah dan bertemu dengan mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata, program ini juga menunjukkan keprihatinan pihak universiti dalam membantu mahasiswa kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan lain.

“Ia secara tidak langsung dapat mendidik warga kampus dan masyarakat setempat untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, penuntut Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) UMP, Izzah Safiah Abdul Razak, 22, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan pihak universiti yang mengambil berat tentang keadaan mahasiswa pada masa kini.

“Saya harap penuntut UMP menghargai dan mendapat manfaat dari usaha murni ini. Program seperti ini juga perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai penuntut mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 9:04am
d